Stadthuys ("dewan perbandaran" dalam bahasa
Belanda) ialah sebuah binaan bersejarah terletak bersebelahan dengan Gereja
Christ di Jalan Laksamana, Melaka, Malaysia. Bangunan ini dibina pada tahun
1650 sebagai penempatan rasmi Gabenor Belanda dan Timbalan Gabenor, di mana
struktur bangunan ini melambangkan seni rekabentuk Belanda yang halus.
Bangunan ini juga mempunyai catatan sejarahnya di bidang
pendidikan, yang mana pada abad ke-19 ketika pemerintahan Inggeris, sebuah
sekolah yang dikendalikan oleh golongan paderi dikenali sebagai Malacca Free
School dibina di perkarangan Bangunan Stadthuys. Ketika itu pendidikan sekolah
diberikan percuma oleh Inggeris. Bagaimanapun kebanyakan pelajar di sekolah itu
terdiri daripada anak-anak golongan Cina yang kaya.
Catatan sejarah menunjukkan sepucuk surat yang bertarikh 19
April 1825, menyatakan betapa perlunya diwujudkan sebuah sekolah Inggeris di
Melaka. Surat itu dikirimkan kepada majlis perbandaran yang ditandatangani oleh
wakil gereja, Encik J. Humprey, J.W. Overee dan A.W. Baumgarten. Akhirnya
sekolah itu dibuka pada 7 Disember 1826 dengan hanya 18 orang pelajar. Pengetua
Malacca Free School yang pertama ialah Encik T.H. Moore.
Tidak lama kemudian bilangan pelajar di sekolah itu
meningkat sehingga 200 orang. Waktu belajar bermula dari jam 9 pagi hingga 12
tengah hari dan disambung dari jam 2 petang hingga jam 4 petang. Bilangan
pelajar Melayu pada masa itu tidak ramai kerana kebanyakan ibu bapa menghantar
anak-anak mereka ke sekolah Melayu atau sekolah agama. Walaupun bahasa
pengantarnya ialah bahasa Inggeris, bahasa-bahasa lain seperti Bahasa Melayu,
Bahasa Portugis dan Bahasa Cina juga diajar.
Pada bulan Ogos 1878, kerajaan British mengambil alih
pentadbiran sekolah tersebut daripada golongan paderi dan menamakannya Malacca
High School atau Sekolah Tinggi Melaka. Pengetuanya yang baru ialah Encik A.
Armstrong. Pada tahun 1931, Sekolah Tinggi Melaka berpindah ke tapak barunya di
Jalan Chan Koon Cheng hingga sekarang.
Bangunan itu kini menempatkan Muzium Sejarah dan Etnografi,
Galeri Laksamana Cheng Ho, Muzium Sastera, Muzium Pemerintahan Demokrasi, dan
Muzium Yang Di-Pertua Negeri. Paparan harian muzium ini ialah pakaian pengantin
tradisional dan artifak dari zaman kegemilangan Melaka.
Sumber: Wikipedia
0 Comments